Thursday 25 September 2014

Masalah Penguasaan Kemahiran Membaca di kalangan Murid Pemulihan Khas

Menyentuh tentang masalah dalam kemahiran bacaan, secara amnya, beberapa isu yang sering berlaku di kalangan murid-murid pendidikan pemulihan antaranya ialah tidak, kenal huruf, meninggalkan huruf atau perkataan, tidak memahami apa yang dibaca, teragak-agak, salah sebutan, lemah daya ingatan, menambah perkataan, mengulang perkataan dan mengeja semasa membaca.
1)    Tidak kenal huruf
Masalah tidak kenal huruf merupakan punca utama kebanyakan kanak-kanak gagal membaca dengan baik. Keadaan ini akan menyebabkan murid-murid menyebut sesuatu huruf sesuka hati atau dengan meneka sahaja dan menjadikan perkataan itu tidak bermakna atau berlainan makna.
2)    Meninggalkan huruf
Huruf dan imbuhan ditinggalkan ketika membaca. Contohnya, ‘buah’ disebut ‘uah’, ‘kering’ disebut ‘kerin’, mengandungi disebut mengandung dan sebagainya.
3)    Meninggalkan perkataan
Perkataan dalam ayat juga kerap ditinggalkan semasa membaca seperti ‘buku itu sangat tebal’ dibaca sebagai ‘buku itu tebal’.
4)    Tidak memahami apa yang dibaca
a)    Gagal memahami maksud perkataan dan frasa yang berkaitan dengan waktu seperti selepas, sudah, sebelum, pagi, sekejap dan sebagainya.
b)    Tidak memahami maksud perkataan dalam pelbagai situasi, misalnya dalam ayat ‘panjatlah lagi pokok itu’, yang bermaksud melarang seseorang itu daripada memanjat pokok difahami sebagai ayat menyuruh seseorang itu memanjat pokok lagi.
c)    Gagal memahami atau membuat urutan idea atau peristiwa yang terdapat dalam bahan bacaan terutamanya apabila diminta menceritakan semula petikan yang dibaca.
d)    Lambat memberi tindak balas terutamanya apabila tidak memahami arahan yang dibaca.
e)    Gagal menghubungkan sebab dan akibat dalam bahan bacaan yang dibaca.
f)     Tidak dapat mengenal pasti perkara yang tidak munasabah (absurdities) dalam bahan yang dibaca.
g)    Tidak dapat mentafsir atau menggunakan carta, graf, peta, rajah dan sebagainya.
5)    Teragak-agak
Teragak-agak bermaksud berhenti sejenak sebelum menyebut sesuatu perkataan ketika membaca disebabkan murid tidak pasti akan bacaannya.
6)    Salah sebutan
Salah sebutan terjadi akibat murid-murid tidak mengenal huruf atau tidak tahu membunyikan sesuatu huruf sehingga sesuatu perkataan tidak bermakna lagi dalam konteks ayat berkenaan. Kesalahan-kesalahan di atas boleh mengubah makna perkataan atau ayat yang dibaca dan perlu juga diberi perhatian oleh guru untuk mengatasinya. Selain itu, guru juga perlu memerhati tingkah laku yang ditunjukkan semasa murid membaca yang boleh menunjukkan murid itu bermasalah dalam bacaan. Antara tingkah laku yang boleh dikenal pasti adalah seperti yang berikut :-
a)    Membatang suku kata terlebih dahulu sebelum dapat menyebut seluruh perkataan.
b)    Bacaan tersekat-sekat iaitu perkataan demi perkataan dan tidak lancar.
c)    Membaca terlampau cepat atau gopoh tanpa menghiraukan tanda bacaan.
d)    Membaca terlampau lambat atau merangkak-rangkak.
e)    Menunjuk perkataan dengan jari ketika membaca.
f)     Tingkah laku yang tidak selesa seperti mengerdip-ngerdipkan mata, mengerut dahi, menggeleng-geleng kepala dan sebagainya.
g)    Suara terlalu perlahan atau tidak jelas atau ‘blurring’.
h)   Kedudukan mata terlalu dekat dengan bahan bacaan.
i)     Cuba mengelak daripada aktiviti membaca.
j)      Tidak boleh membaca langsung.
Guru mestilah peka dengan petunjuk-petunjuk tingkah laku yang dipamerkan oleh murid-muridnya kerana tingkah laku tersebut menunjukkan murid berkenaan menghadapi masalah dalam bacaan.
7)    Lemah daya ingatan
Ingatan pada otak kadang kala mendatangkan masalah seperti sel-sel pada otak tidak dapat berhubung antara satu sama lain. Ini mungkin  disebabkan oleh kecederaan yang pernah dialami oleh pesakit sama ada kemalangan ataupun kecederaan akibat terhantuk benda yang keras.
Simptom:
a.        Semakin lemah daya ingatan/ lupa
b.        Gagal mengenal pasti objek
c.         Masalah emosi seperti kemurungan dan depresi
d.        Rasa janggal di tempat yang biasa dilawati
e.        Hilang kemampuan jasmani
f.         Tidak mengendahkan kebersihan diri
g.        Tidak berminat dengan pelajaran/ pekerjaan
8)     Menambah Perkataan
Murid-murid sering menambah perkataan semasa membaca seperti ’bulan-bulan’ disebut ’bulang-bulang’, ’ikan-ikan’ disebut ’ikang-ikang’ dan seumpamanya.
9)    Mengulang Perkataan/ Ulangan (repetition)                                                           
Mengulang-ulang perkataan atau suku kata semasa membaca dan perbuatan mengulang ini bukan disebabkan oleh masalah gagap.
10) Mengeja Semasa Membaca
a)    Teragak-agak semasa membaca
b)    Menunjuk teks bacaan dengan jari ketika membaca
c)    Tidak berupaya membaca ayat yang panjang kerana was-was dan kurang yakin salah atau betul.
d)    Kemajuan pembacaan yang lemah
Secara khususnya, masalah-masalah dalam bacaan berlaku dalam beberapa peringkat iaitu pada peringkat mengenali bentuk huruf, suku kata, kesukaran dalam pengamatan dan juga kesukaran membaca peringkat ayat.
Daripada pelbagai masalah yang berlaku di kalangan murid pendidikan pemulihan, salah satunya adalah murid tidak dapat membatang perkataan yang mempunyai banyak suku kata. Contohnya, perkataan-perkataan seperti jambatan, pelajaran, pendapatan dan sebagainya.
Masalah ini akan menyebabkan murid tidak dapat menguasai kemahiran membaca. Murid akan cepat berasa jemu dan kadang-kadang akan cuba mengelak daripada aktiviti membaca.

Beberapa cara dapat dijalankan bagi mengatasi masalah ini. Fokus utama hendaklah dimulakan dengan penguasaan terhadap kemahiran asas yang bermula dari bawah, barulah seseorang murid itu dapat menguasai kemahiran yang seterusnya.

No comments:

Post a Comment